Tuesday, October 23, 2012
ADIK (Bhg.3)
“Adik nak balik, Adik nak sembahyang subuh lagi, nak sembahyang banyak-banyak kali, biar Tuhan sayang Adik banyak-banyak.” Lamunan Long Gayah terhenti dengan suara kecil Adik. Long Gayah ketawa kecil dengan teletah Adik.
Adik mengheret tangan emak. Nak balik rumah lekas-lekas.
Sedang Adik dan emak mahu melintas jalan, sebuah kereta menderu laju memintas lalu berhenti betul-betul dihadapan emak dan Adik. Adik kaget. Emak memeluk Adik erat-erat. 3 lelaki berkulit lebih kurang emak keluar dari kereta. Dengan wajah garang, suara garang dan segala-gala garang, 3 lelaki berkulit lebih kurang emak mengheret emak masuk ke dalam kereta. Emak menjerit dan meronta dengan bahasa yang adik tak faham. 3 lelaki itu juga turut bercakap dalam bahasa yang adik tak faham sepatah haram. Dengan kudrat yang ada, emak melawan bersungguh-sungguh. Adk menangis dalam pelukan emak.
Rangkulan emak makin erat. Raungan Adik semakin kuat. rasa takut, marah dan benci dengan 3 lelaki itu menyerang seluruh jiwa Adik. Allah Maha Penyayang.
Ketika itu Adik nampak Long Gayah berlari keluar dengan batang penyapu ditangannya. Ayah Ee turut serta sambil menggenggam parang panjang. Dibelakangnya diikuti beberapa orang pakcik yang sedang makan digerai Long Gayah.
Apalagi, 3 lelaki berbahasa pelik itu membuka langkah seribu meninggalkan emak terjelepok ditanah. Emak menangis teresak-esak. Merintih-rintih dalam bahasa yang Adik tak faham. Adik menendang-nendang angin melepaskan geram pada lelaki yang menyebabkan emak bertukar bahasa itu. Hampir sejam emak mengumpul kudrat untuk pulang ke rumah.
Adik tanya emak siapa lelaki berbahasa pelik itu. Tapi emak tak jawab. Long gayah tanya, emak jawab pula. Emak kata mereka mahu emak balik. Balik ke mana? Balik ke pangkuan keluarga dan amalan asal nenek moyang emak. Mereka mahu emak meninggalkan cahaya Allah. Emak bertekad tidak akan meninggalkan agama Allah. Tidak akan meninggalkan cahaya Allah yang sentiasa menyinari hidup emak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment