Tuesday, October 23, 2012

ADIk ( Bhg. 2 )


Pagi itu, seperti biasa adik ikut emak menjaja kuih. Keliling kampung adik berjalan mengikut emak. Ketika emak berhenti di kedai Long Gayah meletakkan kuih muih, adik berlari mendapatkan Ee, Najlah dan Fifi yang sedang bermain di tepi longkang.

“nak main jugak,” adik tersengih menegur kawan-kawannya.

“boleh, tapi kami main rumah-rumah. Najlah jadi emak, Fifi jadi kakak.Adik jadi ayah ye..” Najlah memberi cadangan. 

Adik tersengih dapat jadi ayah. Tapi macam mana nak jadi ayah, Adik tak tau apa peranan ayah.

“tak boleh…tak boleh..Adik tak boleh jadi ayah, sebab Adik tak ada ayah. Biar Ee jadi ayah, Ee ada ayah..”, Ee mula memberontak.

Adik sekadar menggangguk. Jauh disudut hatinya, Adik sedih. Adik nak menangis, tapi cepat-cepat Adik teringat, pagi tadi Adik solat subuh, Tuhan sayang kat Adik, Tuhan tak sayang kat Ee.

“Adik jadi mamak roti, sebab Adik hitam macam mamak roti,” Ee memberi cadangan.

“Adik tak mahu jadi mamak roti, Adik nak jadi orang laung azan”.

“mana boleh!” Ee memberontak. Ee tolak Adik. Bedebukkk!! Adik jatuh ke tanah. Adik tak mengalah, Adik bangun tolak Ee kuat-kuat. Bedebukkk!!! Ee jatuh. Ee menangis teresak-esak.
“Ee bagitau kat ayah!” Ee gertak Adik. Adik diam. Adik nak bagitau siapa? Adik hanya boleh bagitau emak, tapi emak Adik tak boleh lawan ayah Ee. Ayah Ee kuat.

“Adik bagitau mak!” Adik melawan.

“ayah Ee kuat, mak Adik tak kuat!” Ee mengamuk

“Adik Bagitau Tuhan! Mak kata Tuhan kuat tak ada siapa boleh lawan Tuhan!” Adik berlari meninggalkan Ee termanggu sendiri.


Adik menangis teresak-esak.
“Kenapa?” soal emak lembut.
“mak, Kenapa adik hitam macam mamak roti?” 

“mana ada hitam, kulit adik kan sama macam kulit mak.., kalau Adik hina kulit Adik maknanya Adik hina kulit emak juga, Tuhan marah tau..” Emak memujuk Adik. Memanglah kulit Adik macam kulit emak sebab emak, emak Adik dan Emak bukan orang melayu, Emak orang bangsa lain. Emak tinggalkan keluarga dan amalan nenek moyangnya demi sayangkan ayah. Sebab itu, emak tak pernah membenci ayah biarpun ayah meninggalkan emak sendiri. Kerana ayahlah, emak kenal agama Islam. Kerana ayahlah emak kenal Allah. Kerana ayahlah emak keluar dari kegelapan. Dan kerana ayahlah, emak ada Adik. Biarlah ayah tinggalkan emak tapi emak tidak akan meninggalkan Allah. Allah Yang Satu.


“mak, Kenapa Adik tak ada ayah?”
Emak pening. Soalan itu lagi diulang-ulang. Emak Cuma diam merenung tanah.
“Adik..,” Long Gayah menghampiri Adik dan Emak.
“ walaupun Adik tak ada ayah, tapi Adik ada emak, betul tak?, Emak boleh jaga Adik lebih baik dari ayah Ee jaga Ee, kan??”, Long Gayah pujuk Adik. Airmata Adik disapu. Wajah Adik dielus lembut. Kepala adik diusap penuh kasih sayang.
“mungkin kalau Adik ada ayah, Adik tak ada emak. Mana satu adik nak”, Long Gayah sambung lagi.
“Adik nak dua-dua sekali”, jawab Adik tersekat-sekat.
Long Gayah terdiam. Tak tau nak jawab apa lagi. Adik ternganga menanti jawapan Long Gayah.
“Adik tau ayah tak sayang Adik, tapi Adik tau Tuhan sayang Adik sebab Adik sembahyang subuh pagi tadi, kan Long?”
Long Gayah mengangguk. Tersenyum dengan linangan airmata. Berlinang airmata mengenangkan Adik, anak kecil yang terlalu rindukan kasih ayah. Mengenangkan emak, saudara baru yang ditinggalkan terkontang-kanting menempuh ranjau hidup sendirian. Mengenangkan segala-gala rencah hidup manusia zaman sekarang. Memikirkan bagaimana agaknya emak akan membesarkan Adik untuk menjadi seorang muslim sejati.

No comments: