Tuesday, October 23, 2012

ADIK ( Bhg. 4 )


“kalau ada ayah, mesti ayah lindungi kita kan emak..,” Adik merungut lagi.
“Tak apa Adik, Allah ada, Allah akan lindungi kita, Allah lagi kuat dari ayah”
Adik menggangguk lemah. Emak merangkul Adik dengan penuh kasih sayang.
“Adik, biarlah kulit kita hitam, asalkan hati kita putih
Adik, biarlah hidup kita miskin, asalkan amal ibadat kita kaya
Adik, biarlah ayah tak sayangkan kita, asalkan Allah sentiasa kasihkan kita..”
Adik terlelap dipangkuan emak.

“Adik..bangun”, Adik terkejut apabila emak menepuk-nepuk tubuh adik. Kenapa emak kejut Adik? Adik tak dengar pun azan subuh. Yang adik dengar hanyalah bunyi pintu kayu rumahnya diketuk bertalu-talu. Emak mencium Adik bertalu-talu, kelam kabut Emak menolak tubuh adik masuk ke bawah katil. Berkali-kali Adik tanya Kenapa, tapi emak tidak menjawab. Emak pesan kepada Adik supaya tidak keluar selagi Emak tak panggil. Adik menggangguk.
Selepas itu, Adik tak nampak apa yang berlaku. Yang Adik dengar hanyalah suara lelaki bercampur baur dengan tangisan emak. Sekali lagi mereka berbicara dalam bahasa yang Adik tak faham. Yang Adik dengar hanyalah suara Emak menyebut kalimah Allah. Itu sahaja yang Adik faham.
“Allah..Allah..Allah...” emak terus menyebut kalimah itu biarpun suara lelaki berbahasa pelik itu menjerit menenking kepada emak. Emak terus menyebut kalimah suci itu tanpa rasa gentar.
Adik menggigil dibawah katil. Adik nak keluar, nak tengok apa yang berlaku pada emak. Nak tolong emak. Adik kan lelaki! Tapi Adik ingat pesan emak. Adik perlu patuh kepada emak, kalau tidak Tuhan marah.
“Allahuakbarrr!!!!!!!!!!!!” suara jeritan emak memecah suasana. Adik menggigil lagi. Adik cuba mengamati apa yang berlaku.
“Allah...Allah...Allah..” kalimah suci itu kedengaran semakin perlahan. Lama kelaman Adik tak dengar lagi kalimah itu. Suara emak telah terhenti. Begitu juga suara lelaki-lelaki berbahasa pelik. Kenapa emak diam? Adik terus menunggu emak memanggil Adik keluar. Menunggu dan terus menunggu.
Sehinggalah, laungan azan subuh kedengaran. Adik serba salah. Tapi Adik perlu keluar untuk sembahyang subuh supaya Allah sayang Adik. Mahu tak mahu, Adik merangkak keluar. Ketika Adik teraba-raba, tangan Adik tersentuh cecair. Adik diam. Seingat Adik, Adik tak tumpahkan air semalam. Adik tersengih, mungkin adik kencing malam. Habislah emak marah Adik. Adik merangkak berhati-hati.
Tatkala adik mengangkat kepala, Adik kaget lagi. Didepannya, tubuh emak kaku berlumuran darah dengan pisau panjang tercacak didadanya. Namun Al-Quran di tangan emak, tetap erat digenggamannya.
Dunia Adik terasa berpusing, gelap.masa terhenti. Emakkkkk!!!!!!!
Laungan Adik memecah keheningan subuh.

“Adik, biarlah kulit kita hitam, asalkan hati kita putih
Adik, biarlah hidup kita miskin, asalkan amal ibadat kita kaya
Adik, biarlah ayah tak sayangkan kita, asalkan Allah sentiasa kasihkan kita..”


Selepas ini tak ada lagi emak yang akan wudukkan Adik. Tak ada lagi emak yang akan bentangkan sejadah untuk Adik. Tak ada lagi emak tempat Adik mengadu dan tak ada lagi emak, satu-satunya manusia dalam hidup Adik. Adik memandang sayu pusara emak melangkah longlai meninggalkan harum seroja yang seharum kasih emak pada Adik.

                     ~~~~~~~~~~~~Tamat Sudah~~~~~~~~~~

No comments: